Ahad, 9 Disember 2012

Jangkitan Kuman Ketika Dalam "Pantang"

gif
Bismillah,

“Postpartum fever “atau demam ketika dalam pantang serta rasa sakit selama berpantang selalunya disebabkan oleh jangkitan kuman yang berlaku ketika proses kelahiran sama ada kelahiran normal melalui faraj (vaginal delivery) atau secara pembedahan Cesarean. 

Demam dalam ‘tempoh pantang’ ini adakalanya merbahaya jika ia adalah sebahagian dari kesan komplikasi proses melahirkan anak. “Postpartum Fever “ merujuk kepada suhu badan yang melebihi 38.0°C dan sekurang-kurangnya berlaku 2 hari dalam tempoh 10 hari selepas melahirkan bayi. Demam sebegini biasanya berlaku dalam masa 24 jam selepas wanita selepas bersalin pulang berehat di rumah.

Bagi wanita yang tinggal di kawasan pedalaman yang jauh dari klinik kesihatan, demam semasa dalam pantang ini boleh memudaratkan sehingga boleh membawa maut jika terdapat kelewatan mendapatkan rawatan berbanding mereka yang tinggal dibandar besar yang mudah mendapatkan rawatan segera..


Walaupun proses kelahiran bayi adalah proses fisiologi yang normal, namun kecederaan fizikal masih tetap berlaku dan selalunya akan berlaku koyakan di sepanjang saluran kelahiran bayi, sama ada di pangkal rahim (cervix) atau di faraj terutama apabila bayi yang dilahirkan bersais lebih besar dari yang dijangkakan.


Kebanyakan kes-kes jangkitan kuman hanya dapat dikesan selepas seseorang wanita itu berehat di rumah. Dalam satu kajian yang dilakukan di UK, mendapati 94% dari kes jangkitan kuman ini didiagnosa selepas wanita dibenarkan keluar dari hospital.


Jangkitan Kuman Pada Luka

Luka episiotomi juga boleh menimbulkan masalah jika jahitannya terbuka sebelum sembuh. Keadaan ini digelar breakdown dan biasanya disebabkan oleh jangkitan kuman atau takungan nanah pada luka.Masalah pada luka ini jika tidak dirawat dengan betul boleh menimbulkan masalah jangka panjang seperti terasa sakit ketika mengadakan hubungan kelamin. Oleh itu, setiap wanita perlulah menjaga kebersihan serta menjauhkan masalah jangkitan kuman pada luka di kemaluan.


Bagi kes-kes cesarean pula luka pembedahan boleh dijangkiti kuman dan menyebabkan takungan nanah atau abcess. Rasa sakit berdenyut-denyut pada luka menjadikannya kemerahan. Takungan nanah ini perlu dibedah untuk mengeluarkan nanah. Rawatan secara dressing perlu dilakukan setiap hari di samping ubat antibiotik untuk dimakan.


Jangkitan Kuman Pada rahim


Majoriti kes-kes jangkitan kuman disebabkan oleh luka pada saluran sistem peranakan, sama ada di dalam rahim, pangkal rahim (cervix), faraj dan kulit sekitarnya.Jangkitan kuman pada lapisan endometrium dalam rahim (endometritis) selalunya menyebabkan sakit di bahagian abdomen dan bahagian ari-ari yang semakin hari semakin kuat. Walaupun ianya jarang berlaku namun masih boleh berlaku apabila terdapat sisa uri yang tertinggal dalam rahim.


Dalam hal ini, selain demam dan sakit di bahagian abdomen ianya juga mengeluarkan darah nifas yang berketul-ketul, berbau busuk serta tidak kering walaupun telah menghampiri tempoh tamat nifas.


Jangkitan Kuman Pada Pundi Air Kencing


Jangkitan kuman pada pundi air kencing juga sering dialami oleh wanita hamil kerana aliran air kencing menjadi perlahan dan bertakung akibat rahim yang membesar. Ketika proses kelahiran berlaku, pundi air kencing menjadi sasaran menyebabkan ia tertekan, terhimpit dan kadangkala tercedera.


Doktor perlu memasukkan alat catheter untuk mengeluarkan air kencing yang mungkin bertakung oleh sebab proses kelahiran. Ini juga boleh menyebabkan jangkitan kuman. Apabila jangkitan kuman berlaku, kekerapan membuang air kecil tetapi sedikit-sedikit dan terasa sakit atau pedih.


Nasihat saya bagi wanita selepas bersalin agar mendapat rehat secukupnya, memperbanyakkan minum air dan menjaga diet pemakanan.Jika terdapat sebarang tanda ketidakselesaan pada tubuh atau rasa demam haruslah segera berjumpa dengan doktor agar punca demam dapat dikesan segera dan diberikan rawatan yang bersesuaian.


Semoga Bermanfaat


Emailkan soalan atau pertanyaan ke alamat email drsalwahassan55@gmail.com sertakan nama,usia dan status kelamin untuk bantu memudahkan saya memahami masalah anda.
 

1 ulasan:

Copyright © Info Kesihatan Wanita | Published By Gooyaabi Templates | Powered By Blogger

Design by Anders Noren | Blogger Theme by NewBloggerThemes.com | BTheme.net      Up ↑