Khamis, 5 April 2012

Barah Pangkal Rahim (Kanser Serviks)

gif
Bismillah,

Barah pangkal rahim atau juga dikenali sebagai Kanser Servik merupakan barah yang kedua paling tinggi kejadiannya di kalangan wanita di Malaysia. Barah pangkal rahim juga merupakan barah paling biasa dikalangan wanita usia biak( reproductive age ).Antara salah satu faktor risiko penyakit barah pangkal rahim adalah kehadiran antibodi kepada human papillomavirus (kumpulan virus yang sama yang menyebabkan ketuat kelamin( genital wart ).

Ketuat kelamin (Genital Warts)


Jom Kita kenali dulu tentang ketuat kelamin

Ketuat kelamin merupakan sejenis penyakit kelamin. Ketuat kelamin merujuk kepada bonjolan daging lembut, lembab dan tidak sakit pada alat kelamin. Ketuat kelamin bewarna merah jambu atau keperangan dan boleh tumbuh di atas kemaluan, bibir faraj, kawasan dubur, dan kadangkala pada faraj wanita.

Ketuat ini pada wanita berpotensi berubah menjadi barah, terutamanya barah pangkal rahim.Ketuat kelamin tidak menunjukkan tanda-tanya yang ketara, oleh itu ujian pap smear digalakkan untuk dilakukan secara berkala terutamanya bagi mereka yang menjangkau usia 40an.Bagi wanita mengandung, rawatan perlu dilakukan dengan segera bagi mengelakkan ketuat kelamin berjangkit kepada bayi yang akan lahir secara normal.Walaupun tidak merbahaya, virus ini dipercayai menyebabkan perubahan kepada sel di pangkal rahim ( cervix ), menyebabkan perkembangan barah. Jenis strain HPV dikaitkan dengan barah pangkal rahim (strain 16, 18 dan 31), bukanlah jenis yang menyebabkan ketuat kelamin.

Barah Pangkal Rahim (Kanser Serviks)


Barah pangkal rahim atau juga dikenali sebagai Kanser Serviks merupakan barah yang kedua paling tinggi kejadiannya di kalangan wanita di Malaysia. Kes barah pangkal rahim semakin meningkat setiap tahun. Jika barah pangkal rahim tidak dikesan dan dirawat awal barah pangkal rahim boleh membawa maut.

Mengenali lebih dekat Barah Pangkal Rahim (Kanser Serviks)


Serviks adalah pangkal rahim dan rahim merupakan bahagian tubuh di mana janin berkembang.Serviks berhadapan dengan saluran yang dipanggil faraj.Dalam barah pangkal rahim, sel-sel di pangkal rahim tumbuh secara tidak normal. Sel-sel terus membesar dan membentuk satu ketumbuhan atau tumor. Jika tidak dirawat sel-sel barah ini boleh merebak ke bahagian badan yang lain melalui sistem darah atau limfa anda.Barah pangkal rahim mengambil masa bertahun-tahun untuk berkembang. Sebelum barah pangkal rahim berkembang, perubahan awal berlaku di dalam sel pada permukaan pangkal rahim. Ini disebut peringkat pra-kanser. Wanita yang kerap bertukar-tukar pasangan berdepan risiko lebih tinggi mendapat kanser serviks yang disebabkan jangkitan virus Human Papilloma (HPV) yang hanya tersebar melalui hubungan seks. Selain itu, kanser serviks juga boleh disebabkan hubungan seks pada usia terlalu muda dan tabiat merokok.

Tanda-Tanda Barah Pangkal Rahim

  • Lelehan faraj yang berair dan berbau busuk.
  • Rasa sakit semasa melakukan perhubungan seks.
  • Perdarahan dari faraj antara haid atau selepas perhubungan seks.
  • Sebarang perdarahan dari faraj selepas putus haid.
Perangkaan Kementerian Kesihatan menunjukkan, kira-kira 26 peratus saja wanita menjalani ujian pap smear, manakala 74 peratus lagi memberi perhatian terhadap pemeriksaan kanser payu dara.Secara amnya wanita perlu menjalani tiga jenis pemeriksaan iaitu ujian kanser payu dara, ultra sound dan lumuran pap sekurang-kurangnya dua tahun sekali.

Ujian lumuran Pap (Pap Smear)
 
Oleh kerana wanita yang aktif seks berisiko mengidap barah pangkal rahim (Kanser Serviks), adalah penting untuk mengesannya awal-awal lagi.Ini boleh dilakukan melalui Ujian Pap Smear. Ia merupakan ujian yang mudah dan tidak menyebabkan sebarang kesakitan. Ujian Pap Smear ini boleh mengesan barah pangkal rahim (Kanser Serviks) pada peningkat awal. Rawatan yang mudah pada peringkat ini boleh membawa penyembuhan sepenuhnya.

Ujian ini boleh didapati di:-

  1. Pusat Kesihatan Kerajaan
  2. Klinik Perancang Keluarga
  3. Hospital/Klinik Swasta
Antara calon wanita yang perlu menjalani PAP Smear 

  • Wanita berumur antara 20 - 65 tahun, yang aktif seks atau pernah aktif seks dahulu, perlu menjalani ujian Ujian PAP Smear.
  • Ujian Ujian PAP Smear hendaklah dilakukan sekurang-kirangnya 2 tahun sekali.
  • Ujian PAP Smear terbaik sekali dijalankan pada pertengahan pusingan haid atau 10 hari selepas kedatangan haid
Para wanita juga dinasihatkan adalah lebih baik untuk menjalani ujian lumuran Pap ini pada setiap tahun untuk memeriksa sel prabarah, atau sebarang kelainan. Jika barah pangkal rahim dapat dikesan awal, ia masih boleh dirawat tanpa mengganggu kesuburan anda.

Semoga Bermanfaat

Emailkan soalan atau pertanyaan ke alamat email drsalwahassan55@gmail.com sertakan nama,usia dan status kelamin untuk bantu memudahkan saya memahami masalah anda.

18 ulasan:

Copyright © Info Kesihatan Wanita | Published By Gooyaabi Templates | Powered By Blogger

Design by Anders Noren | Blogger Theme by NewBloggerThemes.com | BTheme.net      Up ↑