Khamis, 3 Julai 2014

Ketuat Kelamin (Genital Warts)

Bismillah,

Untuk kebanyakkan soalan-soalan yang diemailkan kepada saya tentang masalah ketuat kelamin,maka disini saya berusaha memberikan jawapan yang mudah untuk difahami.Semoga usaha ini berhasil memberikan pencerahan dan  kefahaman yang lebih mendalam tentang masalah yang walaupun tidak di inginkan namun berkemungkinan akan singgah menjengah mana-mana wanita jika tidak mengamalkan kaedah penjagaan intim secara yang betul.

Apa sebenarnya ketuat kelamin ini? 

Apabila terdapat ketuat yang tumbuh pada alat kelamin,ianya dipanggil ketuat kelamin dan merupakan sejenis penyakit kelamin. Dalam terma perubatan, keadaan ini dikenali sebagai genital wart (condyloma, condylomata acuminata, venereal wart). Ia sejenis ketumbuhan kecil dan benigna kulit (sering kali keras), pada dubur dan alat kelamin. 

Lazimnya ia tumbuh kecil-kecil, ada yang kelihatan sedikit menonjol (seperti bengkak atau benjol) dan ada juga yang rata, berwarna seakan-akan kulit, berukuran garis pusat (diameter) daripada sekecil-kecil 1-2 millimeter dan tidak ketara hingga tidak dapat dilihat dengan mata kasar.Adapun pada sesetengah wanita pula langsung tidak menunjukkan gejala walaupun telah dijangkiti. 

Ketuat kelamin adalah salah satu daripada penyakit yang ditularkan melalui hubungan kelamin (sexually transmitted disease-STD),ini berlaku apabila ianya menghinggapi tisu-tisu lembap pada bahagian alat sulit seseorang, baik lelaki, wanita atau kanak-kanak. Ianya disebarkan oleh virus Human Papillomavirus (HPV) yang sangat mudah berjangkit dan menjangkiti permukaan atas kulit. Penyakit ketuat kelamin mudah tersebar melalui sentuhan langsung dari kulit ke kulit ketika melakukan hubungan seks melalui faraj, dubur atau secara oral dengan seseorang yang telah pun dijangkiti penyakit tersebut. Kebanyakan jangkitan ini adalah benigna (bukan kanser), disebabkan oleh HPV jenis sub-type 6 dan 11. Namun, ada juga jenis yang onkogenik dan boleh menyebabkan kanser dalam jangka masa panjang.

Gejala ketuat kelamin mula kelihatan dalam tempoh sekurang-kurangnya tiga minggu selepas mengadakan hubungan seks dengan seseorang yang telah dijangkiti penyakit ini. Oleh kerana tempoh pengeraman yang agak panjang, kadangkala gejala hanya akan kelihatan dalam tempoh beberapa bulan atau tahun dan adakalanya ia tidak kelihatan langsung.

Terdapat beberapa gejala ketuat kelamin yang berbentuk bengkakan halus, berwarna kelabu, merah jambu dan kemerahan. Ada yang hitam atau gelap dan boleh membesar dengan pantas. Ketuat boleh tumbuh bersendirian atau banyak. Beberapa ketuat yang tumbuh berhampiran di antara satu sama lain boleh membentuk bunga kubis. Simptom ini boleh menyebabkan rasa gatal, panas membakar di sekitar alat kelamin, rasa tidak selesa, sakit atau berlaku pendarahan semasa melakukan hubungan seks.


Bagi wanita yang mengalami ketuat kelamin semasa mengandung, penyakit ini boleh mendatangkan masalah semasa hamil sekiranya ketuat membesar, mendorong kepada kesukaran membuang air kecil. Ketuat pada dinding faraj mungkin mengurangkan keupayaan tisu-tisu faraj untuk meregang semasa proses bersalin. Walaupun jarang berlaku tetapi bayi yang dilahirkan oleh ibu yang menghidap ketuat alat kelamin mungkin mendapat bonjol daging lembut di dalam tekaknya dan memerlukan pembedahan bagi menghalang saluran pernafasan tersumbat.

Walaupun ketuat kelamin boleh dirawat dengan ubat-ubatan mahupun pembedahan, namun ia tetap menjadi satu masalah kesihatan yang serius.

Pilihan Rawatan

Penggunaan kondom dapat mengurangkan merebaknya penyakit ini dan harus digalakkan.Terdapat beberapa jenis rawatan yang mungkin tidak beberapa selesa dan kadang-kadang menyakitkan.Realitinya,rawatan juga tidak semestinya selalu berkesan dan boleh juga gagal atau masalah tersebut berulang semula. Adapun rawatan juga bergantung kepada jenis, bilangan dan kedudukan ketuat itu. Ketuat yang lembut dan belum diselaputi keratin boleh dirawat dengan ubat sapuan. Ubat sapuan yang dimaksudkan termasuklah podophyllin, podophyllotoxin dan asid trikloroasetik.

Sementara itu, imiquimod (agen yang mengubah suai sistem imun) juga didapati berguna. Rawatan ini boleh dilakukan oleh pesakit di rumah sahaja dengan jangka masa rawatan antara satu hingga empat bulan. Wanita yang mendapat rawatan ini haruslah mengambil langkah-langkah mencegah kehamilan yang berkesan untuk mengelakkan kesan sampingan kepada anak di dalam kandungan.

Untuk kes-kes ketuat keras yang diselaputi keratin memerlukan pembuangan fizikal dengan prosedur pembedahan kecil atau memusnahkannya dengan prosedur krioterapi atau elektrokauteri. Rawatan laser agak mahal dan selalunya ditawarkan untuk kes-kes ketuat yang sangat besar atau sukar untuk dirawat sahaja. Pesakit juga harus menjalani ujian penyaringan untuk penyakit kelamin lain seperti sifilis dan HIV.

Semoga Bermanfaat

 
Emailkan soalan atau pertanyaan ke alamat email drsalwahassan55@gmail.com sertakan nama,usia dan status kelamin untuk bantu memudahkan saya memahami masalah anda.
 


0 ulasan:

Copyright © Info Kesihatan Wanita | Published By Gooyaabi Templates | Powered By Blogger

Design by Anders Noren | Blogger Theme by NewBloggerThemes.com | BTheme.net      Up ↑