Ahad, 7 Disember 2014

Dilema Penyakit PCOS Dikalangan Remaja

penyakitpcos
Bismillah,
Topik ini agak ‘hot’ sekarang ,saya katakan begitu disebabkan ramai diantara pasangan yang sudah berumahtangga dan berhasrat untuk membina keluarga idaman mereka terbantut disebabkan suatu halangan .Maka bermula lah satu episod sedih dan mengecewakan,berlarutan sehingga bertahun-tahun lamanya .Cahayamata yang di idamkan dan bakal menjadi penyeri rumahtangga,tali penyimpul ikatan kasih sayang  pasangan baru ini hanya bergantung pada qada’ dan qadar yang ditentukan oleh Allah swt.

Ujian Allah swt mengatasi segala impian mereka dimana ramai di antara pasangan ini,terkedu apabila dikejutkan oleh satu berita yang agak mengecewakan. Lawatan dan pemeriksaan di klinik sakit puan telah membongkar gejala yang selama ini telah“disembunyikan”.Selesai pemeriksaan,doktor memberitahu mereka tentang halangan dan kesukaran yang bakal dialami berpunca dari masalah penyakit  yang baru pertama kali di dengar iaitu PCOS.

Apabila kita putarkan jam kebelakang dan menerima hakikat sebenarnya, ramai daripada mereka ini telah mengalami masalah pcos sejak dari muda remaja lagi.Samada disedari atau tidak,isyarat awal pcos telah dihantar melalui beberapa gejala seperti haid tidak teratur,tumbuh bulu rambut berlebihan dan beberapa lagi gejala awalan sejak ianya bermula.Mungkin di usia muda remaja amat jarang sekali didedahkan dengan informasi tentang PCOS. 

Tentu sekali bukan dari rumah tidak juga di sekolah malahan amat jarang sekali di dengari di instituisi pengajian tinggi.Mungkin penyakit kronik seperti kanser,jantung atau yang kerap didengar seperti asthma,jangkitan virus dan sebagainya,namun masalah penyakit wanita seperti endometriosis,pcos,kanser ovari seakan- akan hanya menjadi bahan bacaan sampingan.

Impaknya setelah meningkat dewasa samada sudah berkahwin atau belum,ianya  bakal menjadikan sesetengah daripada mereka sebagai  peminat setia pakar kesuburan,hospital dan ubatan sintetik.Pcos  pada zaman ini sudah menjadi semacam epidemik….

Apa yang menyedihkan,ramai diantara remaja masih keliru dan tidak memahami “bahasa tubuh” mereka sendiri apabila membiarkan isyarat yang diterima berlarutan tanpa meminta nasihat atau rawatan dari pakar diklinik/hospital.

Sebagai “crash course” untuk remaja ,saya akan cuba menggunakan bahasa yang mudah difahami supaya para remaja mendapat kefahaman asas tentang penyakit PCOS setelah membaca artikel ini.

Mengenali Penyakit PCOS

Ovari Sindrom Polycystic (PCOS) adalah penyakit endokrin pembiakan yang paling biasa di kalangan wanita dalam usia reproduktif. Walaupun pcos tidak menerima publisiti yang meluas, ia memberi kesan kepada ramai remaja wanita . Malahan  1 dalam 10 wanita dipercayai mengalami masalah ini.

Walaupun gejala berbeza antara satu sama yang lain,namun gejala yang paling biasa dialami adalah haid yang tidak teratur, jerawat, tumbuh bulu yang berlebihan di muka,kaki dan berat badan yang berlebihan. 

Kefahaman tentang penyakit ini boleh membantu para remaja wanita mengenali dan memahami trend semasa dalam rawatan perubatan juga peranan penting diet yang seimbang  serta perkara- perkara lain yang  boleh berkaitan.

Apakah sebenarnya PCOS?

PCOS berpunca dari ketidakseimbangan hormon yang menyebabkan haid tidak teratur, tumbuh bulu rambut yang tidak di ingini dan jerawat. Nama "Poli", yang bermaksud "banyak", dan "Cystic", yang bermaksud "cyst", merujuk kepada fakta bahawa mereka yang mempunyai PCOS mempunyai ovari yang mengandungi banyak cyst kecil. Cyst kecil ini juga dipanggil folikel tumbuh dalam ovari ,namun ianya bukan sejenis barah dan tidak perlu dibuang melalui pembedahan.

Apakah tanda-tanda seseorang yang mengalami PCOS?

Wanita yang mengalami PCOS lazimnya mempunyai satu atau lebih tanda-tanda.Sebahagian daripada tanda-tanda yang paling biasa termasuk:
  • Haid tidak teratur - haid yang datang beberapa bulan sekali, tidak datang haid sama sekali, atau haid yang terlalu kerap
  • Hirsutisme – tumbuh bulu yang lebat pada muka atau bahagian badan lain
  • Jerawat
  • Penambahan atau penurunan berat badan dan dalam beberapa kes kegemukan (obesiti)
  • Nigricans acanthosis keadaan seperti tampalan kulit gelap di bahagian belakang leher dan kawasan-kawasan lain.
  • Ketidaksuburan disebabkan haid yang tidak teratur atau kekurangan ovulasi(waktu subur)

Lain-lain yang tanda / gejala termasuk:

  • Penipisan rambut (pada bahagian atas kepala)
  • Kolesterol tinggi dan / atau HDL rendah "kolesterol baik"
  • Tekanan darah tinggi
  • Pra-diabetes atau dalam beberapa kes, diabetes

Apa yang menyebabkan PCOS?

PCOS adalah disebabkan oleh ketidakseimbangan hormon yang dirembeskan oleh kelenjar pituitari yang seterusnya memberi kesan kepada ovari. Ramai remaja dengan PCOS juga mempunyai tahap insulin yang lebih tinggi daripada tahap insulin normal.PCOS biasanya berlaku apabila hormon luteinizing (LH) meningkat atau tahap insulin terlalu tinggi,menyebabkan pengeluaran testosteron(hormon lelaki) tambahan oleh ovari.

Bagaimana untuk mengetahui jika mengalami PCOS?

Jika remaja mengesan  2 atau lebih daripada gejala-gejala di atas, berkemungkinan besar terdapat risiko PCOS.

Remaja boleh berjumpa doktor di klinik/hospital untuk melakukan penilaian awal sebelum dirujuk kepada pakar sakit puan untuk melakukan pemeriksaan dan ujian lanjutan.

Kesan penyakit PCOS Kepada Masadepan Para Remaja

Ramai remaja yang bermasalah pcos kurang memahami tentang kesan yang bakal ditanggung  apabila meningkat dewasa dan berumahtangga kelak.Perkataan dilema yang saya gunakan ketika menulis tentang remaja dalam topik keputihan wanita,kini dilema saya guna sekali lagi bagi menceritakan betapa “blackout” informasi tentang pcos dikalangan remaja  bakal membawa impak yang besar di kemudian hari.

Cerita diawal artikel ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja yang mengalami pcos samada disedari atau tidak.Namun adalah lebih baik jika setiap sesuatu penyakit di cegah atau dirawat dari awal lagi.Mungkin ianya dapat membantu untuk menghadapi, mengawal emosi dan kesukaran dimasa hadapan.Bak kata pepatah melayu “Sediakan payung terlebih dahulu sebelum turunya hujan” .

Kesimpulan

Apa yang saya tuliskan dalam artikel ini hanya lah perkara asas yang perlu diketahui oleh remaja,mencukupi sebagai isyarat untuk  melakukan sesuatu tindakan sebelum ianya menjadi bertambah serius.Terdapat banyak lagi faktor-faktor sampingan,kajian dan kaedah rawatan alternatif  serta cara mengawal diet untuk pesakit pcos yang akan saya tuliskan dalam artikel lain pula.Pcos tidak berhenti di sini sahaja disebabkan ianya akan terus berada di dalam sebahagian diri wanita sehingga suatu masa yang tidak diketahui.

Ujian Allah swt datang dalam berbagai bentuk dan rupa,maka tidak perlu lah kita menyalahkan sesiapa.Perkara yang utama sekarang adalah memahami perkara asas tentang pcos dan gejala-gejala yang datang bersamanya, supaya mudah untuk mengambil tindakan yang sewajarnya walaupun dalam usia yang muda remaja.

0 ulasan:

Copyright © Info Kesihatan Wanita | Published By Gooyaabi Templates | Powered By Blogger

Design by Anders Noren | Blogger Theme by NewBloggerThemes.com | BTheme.net      Up ↑