Bismillah,
Untuk kebanyakkan
soalan-soalan yang diemailkan kepada saya tentang masalah ketuat kelamin,maka
disini saya berusaha memberikan jawapan yang mudah untuk difahami.Semoga usaha
ini berhasil memberikan pencerahan dan kefahaman yang lebih mendalam tentang masalah yang
walaupun tidak di inginkan namun berkemungkinan akan singgah menjengah mana-mana
wanita jika tidak mengamalkan kaedah penjagaan intim secara yang betul.
Apa
sebenarnya ketuat kelamin ini?
Apabila terdapat ketuat yang
tumbuh pada alat kelamin,ianya dipanggil ketuat kelamin dan merupakan sejenis
penyakit kelamin. Dalam terma perubatan, keadaan ini dikenali sebagai genital
wart (condyloma, condylomata acuminata, venereal wart). Ia sejenis ketumbuhan
kecil dan benigna kulit (sering kali keras), pada dubur dan alat kelamin.
Lazimnya ia tumbuh
kecil-kecil, ada yang kelihatan sedikit menonjol (seperti bengkak atau benjol)
dan ada juga yang rata, berwarna seakan-akan kulit, berukuran garis pusat
(diameter) daripada sekecil-kecil 1-2 millimeter dan tidak ketara hingga tidak dapat
dilihat dengan mata kasar.Adapun pada sesetengah wanita pula langsung tidak
menunjukkan gejala walaupun telah dijangkiti.
Ketuat kelamin adalah salah
satu daripada penyakit yang ditularkan melalui hubungan kelamin (sexually
transmitted disease-STD),ini berlaku apabila ianya menghinggapi tisu-tisu
lembap pada bahagian alat sulit seseorang, baik lelaki, wanita atau
kanak-kanak. Ianya disebarkan oleh virus Human Papillomavirus (HPV) yang sangat
mudah berjangkit dan menjangkiti permukaan atas kulit. Penyakit ketuat kelamin mudah
tersebar melalui sentuhan langsung dari kulit ke kulit ketika melakukan
hubungan seks melalui faraj, dubur atau secara oral dengan seseorang yang telah
pun dijangkiti penyakit tersebut. Kebanyakan jangkitan ini adalah benigna
(bukan kanser), disebabkan oleh HPV jenis sub-type 6 dan 11. Namun, ada juga
jenis yang onkogenik dan boleh menyebabkan kanser dalam jangka masa panjang.
Gejala ketuat kelamin mula
kelihatan dalam tempoh sekurang-kurangnya tiga minggu selepas mengadakan
hubungan seks dengan seseorang yang telah dijangkiti penyakit ini. Oleh kerana
tempoh pengeraman yang agak panjang, kadangkala gejala hanya akan kelihatan
dalam tempoh beberapa bulan atau tahun dan adakalanya ia tidak kelihatan
langsung.
Terdapat beberapa gejala
ketuat kelamin yang berbentuk bengkakan halus, berwarna kelabu, merah jambu dan
kemerahan. Ada yang hitam atau gelap dan boleh membesar dengan pantas. Ketuat
boleh tumbuh bersendirian atau banyak. Beberapa ketuat yang tumbuh berhampiran
di antara satu sama lain boleh membentuk bunga kubis. Simptom ini boleh
menyebabkan rasa gatal, panas membakar di sekitar alat kelamin, rasa tidak
selesa, sakit atau berlaku pendarahan semasa melakukan hubungan seks.
Bagi wanita yang mengalami
ketuat kelamin semasa mengandung, penyakit ini boleh mendatangkan masalah
semasa hamil sekiranya ketuat membesar, mendorong kepada kesukaran membuang air
kecil. Ketuat pada dinding faraj mungkin mengurangkan keupayaan tisu-tisu faraj
untuk meregang semasa proses bersalin. Walaupun jarang berlaku tetapi bayi yang
dilahirkan oleh ibu yang menghidap ketuat alat kelamin mungkin mendapat bonjol
daging lembut di dalam tekaknya dan memerlukan pembedahan bagi menghalang
saluran pernafasan tersumbat.
Walaupun ketuat kelamin
boleh dirawat dengan ubat-ubatan mahupun pembedahan, namun ia tetap menjadi
satu masalah kesihatan yang serius.
Pilihan Rawatan
Penggunaan kondom dapat
mengurangkan merebaknya penyakit ini dan harus digalakkan.Terdapat beberapa
jenis rawatan yang mungkin tidak beberapa selesa dan kadang-kadang
menyakitkan.Realitinya,rawatan juga tidak semestinya selalu berkesan dan boleh
juga gagal atau masalah tersebut berulang semula. Adapun rawatan juga bergantung
kepada jenis, bilangan dan kedudukan ketuat itu. Ketuat yang lembut dan belum
diselaputi keratin boleh dirawat dengan ubat sapuan. Ubat sapuan yang
dimaksudkan termasuklah podophyllin, podophyllotoxin dan asid trikloroasetik.
Sementara itu, imiquimod
(agen yang mengubah suai sistem imun) juga didapati berguna. Rawatan ini boleh
dilakukan oleh pesakit di rumah sahaja dengan jangka masa rawatan antara satu
hingga empat bulan. Wanita yang mendapat rawatan ini haruslah mengambil
langkah-langkah mencegah kehamilan yang berkesan untuk mengelakkan kesan
sampingan kepada anak di dalam kandungan.
Untuk kes-kes ketuat keras
yang diselaputi keratin memerlukan pembuangan fizikal dengan prosedur
pembedahan kecil atau memusnahkannya dengan prosedur krioterapi atau
elektrokauteri. Rawatan laser agak mahal dan selalunya ditawarkan untuk kes-kes
ketuat yang sangat besar atau sukar untuk dirawat sahaja. Pesakit juga harus
menjalani ujian penyaringan untuk penyakit kelamin lain seperti sifilis dan
HIV.
Semoga Bermanfaat
Emailkan soalan atau pertanyaan ke alamat email drsalwahassan55@gmail.com sertakan nama,usia dan status kelamin untuk bantu memudahkan saya memahami masalah anda.
Semoga Bermanfaat
Emailkan soalan atau pertanyaan ke alamat email drsalwahassan55@gmail.com sertakan nama,usia dan status kelamin untuk bantu memudahkan saya memahami masalah anda.
0 ulasan:
Catat Ulasan