Isnin, 25 Jun 2012

PID - Antara Punca Kemandulan Wanita

gif
Penyakit radang pelvis atau Pelvic inflammatory disease (PID) adalah satu istilah am untuk keadaan yang merangkumi infeksi dan radang alat kelamin wanita. Ini termasuk radang rahim, tiub fallopian dan kilang ovari. Kawasan persekitaran alat kelamin juga mudah dijangkiti penyakit ini. Adapun majoriti kes jangkitan disebabkan PID adalah melalui hubungan seksual.

Berlakunya radang pelvis apabila terdapat jangkitan bakteria pada faraj yang telah memasuki pangkal rahim seterusnya merebak ke organ peranakan wanita. Walaupun terdapat berbagai organisma dan bakteria yang boleh mengakibatkan radang pelvis namun tetapi yang kekal menjadi penyumbang utama adalah penyakit kelamin Gonorrhea dan Chlamydia.Penyakit ini boleh mengakibatkan radangan kepada saluran Fallopian dan seterusnya menyebabkan selaput tiub membengkak serta menyempitkan saluran tersebut. Ini mangakibatkan embrio yang dihasilkan dari pesenyawaan akan tersumbat di tiub lalu memungkinkan kandungan di luar rahim(Ektopik) dan kemandulan.

Jika rawatan tidak diberi, saluran tiub akan membengkak lalu menghasilkan nanah. Nanah ini pula akan mengotori kawasan sekitar tiub dan ovari menyebabkan permukaan luar tiub melekat dengan organ-organ sekitarnya (seperti pundi air kencing dan usus).

Antara Tanda dan Gejala

Antara gejala awal adalah gatal, iritasi serta keluarnya  lendiran yang berlebihan dari faraj dan salur air kencing. Ia berlaku diantara 7 hingga 21 hari (untuk infeksi chlamydia), dan 2 hingga 5 hari (untuk gonorrhea). Dalam keadaan biasa wanita akan mendapati lendiran dari faraj yang tiada kaitan dengan penyakit kelamin namun  tetapi jika lendiran didapati berbau busuk dan gatal, mentelah lagi setelah baru beberapa hari melakukan seks, kemungkinan risiko PID tidak boleh ditolak apabila gejala awal ini diikuti pula oleh  kesakitan pada abdomen (perut) yang berterusan, demam sekali sekala selain merasa kurang selesa atau juga sakit semasa melakukan hubungan seksual.Jika jangkitan membabitkan lapisan rahim (endometrium) besar kemungkinan akan berlaku pendarahan vagina di antara dua kitaran haid. 

Antara Faktor Penyebab

Statistik menunjukkan sekurang-kurangnya 60% kes PID adalah berpunca dari penyakit kelamin (STD). Bakteria chlamydia trachomatis terlibat hampir 50% dalam kes-kes PID sementara infeksi Gonococcal (disebabkan oleh bakteria Neisseria gonorrhea) pula adalah yang paling kerap dikesan di Malaysia. Terdapat juga beberapa anggaran kasar merekodkan diantaranya 10% wanita telah dijangkiti oleh kedua-dua bakteria.

Sementara itu di negara – negara barat pula chlamydia trachomatis adalah antara  jangkitan kuman yang paling kerap berlaku dimana terdapat lebih 80% wanita barat yang dijangkiti tidak menyedari akan keadaan mereka yang telah dijangkiti apabila adakala  ianya tidak menunjukkan gejala  dan perkara ini telah menjadikan mereka sebagai agen tularan melalui aktiviti seks tanpa mereka sedari.

Antara Langkah Pencegahan

Wanita boleh melindungi diri mereka daripada PID dengan mengambil tindakan untuk mengelakkan jangkitan STD (penyakit kelamin) atau dengan mendapatkan rawatan awal jika mereka dijangkiti STD.

Cara terbaik untuk mengelakkan jangkitan STD adalah untuk menahan diri dari melakukan hubungan seks, atau berada dalam hubungan jangka panjang yang mana pasangan adalah saling monogami. Penggunaan kondom  secara konsisten dan betul juga didapati berkesan dalam mengurangkan risiko jangkitan chlamydia dan gonorrhoea seterusnya mengurangkan risiko Radang Pelvis (PID).

0 ulasan:

Copyright © Info Kesihatan Wanita | Published By Gooyaabi Templates | Powered By Blogger

Design by Anders Noren | Blogger Theme by NewBloggerThemes.com | BTheme.net      Up ↑