Rabu, 14 Ogos 2013

Masalah Yang Sering Dialami Wanita Ketika Haid

gif
Bismillah,
Selamat menyambut hari raya aidilfitri,maaf dzahir dan batin

Memandangkan terdapat banyak soalan-soalan yang ditanyakan adalah berkaitan haid,kali ini saya akan cuba menfokuskan artikel ini dari sudut haid yang mudah difahami,semoga dengan izin Allah s.w.t ianya bermanfaat dan berjaya membantu ramai kalangan wanita mentelah lagi remaja yang masih samar-samar tentang persoalan haid yang kadangkala mengelirukan ibarat teraba-raba didalam gelap.

Haid : Kitaran dan Fungsi

Haid adalah suatu keadaan fisiologi yang tetap dan teratur. Ia dialami oleh wanita yang berada dalam lingkungan umur yang berupaya untuk hamil. Semasa kedatangan haid, seseorang wanita akan kehilangan darah.Sementara tempoh reproduktif seseorang wanita dicirikan dengan perubahan ritmik pada rembesan hormon yang diperlukan untuk pembiakan. Corak ritmik ini dikenali sebagai kitaran seksual wanita atau kitaran haid
.
Fungsi kitaran haid ialah menghasilkan telur (ovum) yang matang daripada ovari dan menyediakan lapisan dalam rahim untuk implantasi embrio. Jika tidak berlaku persenyawaan, telur akan mengalami degenerasi dan dibuang bersama bahan-bahan lain yang keluar daripada tubuh wanita melalui saluran vagina. 

Proses haid akan membuang keluar darah, mukus/lendiran dan sel-sel yang sudah mati. Proses ini berlaku dalam tempoh yang agak tetap daripada masa akil baligh sehinggalah menopaus (putus haid) kecuali semasa mengandung dan penyusuan. Proses haid  bermula daripada umur 12 atau 13 tahun tetapi kadangkala seawal umur 10 tahun dan selewat-lewatnya 16 tahun. 

Permulaan haid banyak bergantung kepada beberapa faktor seperti kaum, genetik, suhu persekitaran dan status nutrisi serta pemakanan. Putus haid berlaku pada purata umur 47 tahun (julat umur antara 45 hingga 55 tahun). Purata tempoh kitaran haid bagi wanita yang normal ialah 28 hari. Hari pertama haid dianggap sebagai hari pertama bagi setiap kitaran baru. Setiap kitaran bagi seorang wanita yang normal dan sihat ialah di antara 20 hingga 45 hari. Perbezaan tempoh kitaran bergantung kepada umur. Tempoh aliran keluar haid juga berbeza-beza.

Purata kitaran haid di kalangan gadis remaja  adalah 6.6 hari manakala pada umur 21 tahun, purata tempoh haid menjadi enam hari sehinggalah mencapai tahap putus haid. Lebih kurang lima peratus wanita yang sihat datang haid kurang daripada empat hari dan lima peratus lagi wanita yang mengalami lebih daripada lapan hari. Jumlah purata darah dan tisu yang hilang semasa kedatangan haid ialah 70 ml. Wanita yang berumur kurang daripada 35 tahun akan kehilangan darah lebih banyak berbanding wanita yang berumur 35 tahun ke atas.Jumlah keseluruhan cecair badan yang hilang semasa haid ialah di antara 60 hingga 200 ml.

Sesetengah wanita akan mengalami simtom atau gejala yang tidak selesa dalam tempoh haid tersebut. Di dalam tempoh tersebut wanita akan mengalami masalah seperti sakit kepala, pengumpulan cecair, ketegangan payu dara, mudah meradang, keresahan, sakit tulang belakang, kesakitan dan kekejangan pada bahagian abdomen serta tekanan perasaan.

Antara punca berlakunya gangguan haid.

Kegemukkan (obesity) merupakan antara punca utama yang menyebabkan pusingan haid  terlewat  atau jaraknya yang berpanjangan , mungkin jarak 6 – 9 bulan atau lebih di antara satu sama lain. Keadaan ini sering dikaitkan dengan ketidaksuburan. Ada di kalangan mereka yang tumbuh rambut pada kaki atau misai. Apabila dilakukan vaginal ultrasound kedua ovari mereka didapati bengkak dan tidak menetas ke dalam rahim(Polycystic ovary).

Bagi seseorang wanita yang perjalanan haidnya tetap dan teratur, apabila  mengalami gangguan pada pusingan haidnya bermakna sesuatu perkara sedang berlaku. Salah satu puncanya ialah kemungkinan hamil. Apabila kehamilan terjadi haid dengan tersendirinya akan berhenti. Wanita yang menyusukan anak juga mendapati perjalanan haidnya terganggu. Ketika penyusuan bayi, hormon susu (Prolactin) meningkat dalam aliran darah ibu. Hormon ini menghalang penetasan telur berlaku dan menghentikan kitaran haid. 

Peningkatan paras hormon susu (prolactin) juga boleh disebabkan oleh ketumbuhan dalam kelenjar pituitary menyebabkan haid tidak berlaku atau hanya datang sekali-sekala sahaja.Ianya juga menandakan seseorang wanita yang kurang subur.Gangguan hormon mungkin juga boleh berpunca dari ketumbuhan dalam kelenjar ovari. Ketegangan rohani atau tekanan jasmani seperti kesedihan oleh sebab kematian ibu bapa atau yang lainnya, boleh juga melambatkan kedatangan haid.


Antara punca-punca berlaku haid berlebihan dan berpanjangan

1.  Ketumbuhan bukan kanser - Wanita yang mengalami keluaran darah haid yang berlebihan atau berpanjangan daripada biasa, tandanya ada penyakit, khususnya jika keluaran darah haid yang banyak disertai dengan senggugut. Gangguan haid seperti ini jika melibatkan wanita dalam usia 30 tahun hingga 50 tahun keatas, mungkin menandakan sesuatu penyakit tumbuhan bukan kanser pada pangkal rahim seperti ‘cervical polyp’ atau dalam rahim seperti ‘fibroid’ atau ‘Adenomyosis’.Cervical polyp adalah daging sangat kecil berwarna merah berbentuk bulat yang tumbuh di merata-rata tempat. Fibroid ialah ketumbuhan yang  teksturnya kelihatan seperti sabut kelapa apabila dikupas. Ia boleh membesar dengan banyak jika dibiarkan.

2.  Kanser Pangkal Rahim – Perkara yang paling menakutkan lagi ialah tumbuhan kanser rahim atau  pangkal rahim. Ia boleh menyebabkan pendarahan berpanjangan keluar dari faraj.

3.  Penggunaan alat perancang keluarga - Wanita yang menggunakan alat dalam rahim (IUD-Intra-Uterine Device) juga boleh mengalami masalah pendarahan yang berpanjangan dan berlebihan. Mereka yang menggunakan kaedah suntikan atau ‘implant’ hormon sebagai cara mencegah kehamilan kadang-kala mengalami maslah perdarahan bersifat sedikit demi sedikit tetapi berpanjangan.

4.  Kehamilan luarbiasa - Keadaan ini mungkin juga menandakan kandungan yang terancam keguguran (Threatened abortion), keguguran, kandungan anggur (molar pregnancy), kehamilan di luar rahim.

Antara jenis-jenis pendarahan abnormal:
  1. Pendarahan boleh berlaku pada pertengahan pusingan haid (intermenstrual bleeding), sebelum haid (premenstrual staining) atau selepas haid (postmenstrual staining)dan ini mungkin sedikit sahaja dan tidak memerlukan tuala wanita. Keadaan ini mungkin disebabkan oleh masalah ketidak-seimbangan hormon atau mungkin juga disebabkan oleh tekanan jiwa atau emosi. Wanita yang mengamalkan kaedah cegah hamil yang mengandungi hormon seperti pil perancang boleh mengalami masalah seperti ini. Begitu juga dengan penggunaan ubat hormon untuk rawatan penyakit pada anggota peranakan. Ia juga mungkin menandakan sejenis ketumbuhan atau jangkitan kuman pada kemaluan dan anggota peranakan. Setiap wanita yang mengalami pendarahan yang luar biasa dan tidak tentu masa perlu mendapatkan nasihat dan pemeriksaan dari doktor 
  2. Perdarahan selepas persetubuhan. Ini adalah satu tanda yang merbahaya kerana ia mungkin menandakan penyakit kanser pangkal rahim khususnya jika ia berlaku pada wanita dalam lingkungan umur 30 puluhan dan telah berkahwin dan telah pun mendapat anak. Pendarahan selepas persetubuhan juga mungkin disebabkan oleh penyakit lain yang bukan kanser seperti luka pada pangkal rahim (cervical erosion), ketumbuhan bukan kanser atau jangkitan kuman. Pemeriksaan daripada doktor khususnya ujian ‘pap smear’ adalah sangat penting.
  3. Perdarahan lepas putus haid. Tidak semua pendarahan seperti ini disebabkan oleh kanser. Pendarahan ini mungkin disebabkan oleh suatu keadaan dalam faraj yang kekeringan iaitu “atrophic vaginitis” iaitu satu keadaan yang disebabkan oleh kekurangan hormon oestrogen. Ia tidak merbahaya dan boleh dirawat dengan ubat hormon oestrogen.

Wanita harus berwaspada terhadap gejala yang boleh disebabkan oleh penyakit-penyakit yang lebih serius dan memerlukan rawatan segera. Antaranya adalah pendarahan yang teruk, tidak datang haid, discaj yang tidak normal daripada bahagian vagina, kesakitan yang amat sangat sebelum dan semasa haid atau kesakitan ketika melakukan hubungan seksual.


Semoga Bermanfaat,

 
Emailkan soalan atau pertanyaan ke alamat email drsalwahassan55@gmail.com sertakan nama,usia dan status kelamin untuk bantu memudahkan saya memahami masalah anda.
 


































Copyright © Info Kesihatan Wanita | Published By Gooyaabi Templates | Powered By Blogger

Design by Anders Noren | Blogger Theme by NewBloggerThemes.com | BTheme.net      Up ↑